78 penuntut UM Nilam Puri jayakan Bakti Siswa
TUMPAT 25 Okt. - Seramai 78 penuntut Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) Nilam Puri berkampung di Kampung Tujoh dekat sini selama tiga hari bagi menjayakan Program Bakti Siswa Mesra Bersama Masyarakat baru-baru ini.
Pengarah program, Ahmad Aqiel Abdul Rahim berkata, program itu melibatkan penuntut tahun satu dan dua Asasi Pengajian Islam yang tinggal bersama 44 keluarga angkat masing-masing.
Katanya, tujuan utama program itu diadakan untuk mendekatkan penuntut dengan masyarakat selain menyelami kehidupan penduduk kampung.
"Pelbagai aktiviti diaturkan bermula dengan majlis penyerahan anak angkat dan program jelajah mengenali kampung. Peserta juga didedahkan dengan aktiviti gotong-royong, kuliah agama dan menyampaikan sumbangan ke rumah pesakit kronik serta slot motivasi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ahmad Aqiel berkata, pada program itu peserta turut khatam al-Quran dan sama-sama menunaikan solat jenazah seorang penduduk kampung.
Bagi seorang penuntut yang berasal dari Perak, Mohd. Nabil Mohd. Ismail, 19, dia tinggal bersama keluarga angkat selama tiga hari di kampung itu dan ia merupakan satu pengalaman indah yang sukar dilupakan.
"Selain aktiviti yang dirancang oleh pihak kampus, aktiviti bersama keluarga angkat meninggalkan memori yang indah. Saya tidak pernah dan tidak tahu menanam tembakau, tetapi apabila datang ke kampung ini saya dapat mencubanya dan ini satu kenangan manis buat saya," ujarnya.
Selain itu katanya, walaupun berasal dari Perak, namun dia cukup teruja menikmati masakan orang Kelantan terutama budu sepanjang tinggal bersama keluarga angkatnya.
kutipan daripada : http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1026&pub=utusan_malaysia&sec=Timur&pg=wt_04.htm&arc=hive
No comments:
Post a Comment